Jorge Sampaoli menabik kecekapan Kasper Schmeichel selepas penjaga gol Leicester City itu menafikan deretan peluang Sevilla dalam kemenangan 2-1 mereka dalam aksi Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Leicester barangkali boleh kalah dengan jurang lebih besar dalam pertemuan pertama pusingan 16 itu tetapi ketangkasan Schmeichel di Ramon Sanchez Pizjuan hanya membenarkan Pablo Sarabia dan Joaquin Correa untuk menembusi gawangnya.

Jamie Vardy mencetak nama selaku penjaring, 17 minit sebelum wisel penamat ditiupkan, untuk The Foxes membawa pulang bekalan gol di tempat lawan.

Gol itu hadir ketika pertemuan itu dibayangi oleh penguasaan tuan rumah dan dalam masa yang sama, anak buah Sampaoli tidak cukup klinikal di depan gol.

Schmeichel menafikan beberapa cubaan berbahaya Sevilla selain turut menyelamatkan sepakan penalti Correa pada separuh masa pertama sehingga mendorong Sampaoli untuk memuji persembahannya dan seterusnya menyekat kemenangan lebih besar Sevilla.

"Kami mendominasi permainan dan terpaksa berdepan dengan aksi berkelas tinggi Schmeichel," kata jurulatih dari Argentina itu.

"Kalau bukan kerana dia, kisahnya pasti berbeza. Dia sangat-sangat bagus.

"Saya gembira kerana jurang perlawanan ini cukup besar. Tapi kami tidak bernasib baik untuk memanfaatkannya.

"Dengan corak permainan seperti ini, kalau kami tidak bolos di England, maka kami akan layak.

"Kami tidak patut memandang rendah persembahan hebat oleh pemain-pemain Sevilla.

"Pendekatan unik pihak lawan berakhir dengan gol. Pasukan seperti mereka memang begitu.

"Kami terpaksa menelan kepahitan gagal meraih kemenangan besar. Kami lebih unggul. Kami patut menjaringkan gol dan melebarkan kedudukan hasil daripada peluang-peluang yang dicipta."