Marco Reus membuat pengurus Borussia Dortmund, Peter Stoger, gembira apabila mempamerkan aksi meyakinkan ketika membantu pasukan menundukkan Hamburg SV 2-0 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi.

Bintang Jerman itu turun buat kali pertama sejak Mei tahun lalu selepas mengalami kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama sembilan bulan.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu tidak menunjukkan sebarang rasa kekok apabila diletakkan dalam kesebelasan utama sebelum digantikan Mario Gotze ketika aksi berbaki 19 minit.

"Aksi Reus sangst hebat tetapi ia bukan sesuatu yang memeranjatkan. Dia mampu beraksi sepenuh masa pada hari ini.

"Pertemuan dengan Hamburg menjadi sukar kerana lawan tampak sangat bersedia dan saya lega kami meraih tiga mata berharga," kata Stoger.

Reus diberikan lilitan ketua pasukan gara-gara ketiadaan Marcel Schmelzer yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan buku lali dan dia teruja dapat kembali dengan kemenangan.

"Kami tidak mempamerkan aksi terbaik kami tetapi ketika ini, apa yang penting adalah menjaringkan gol dan meraih tiga mata.

"Kami mencipta peluang dan jika dapat memberikan tekanan lebih tinggi, gol kedua sudah pasti tiba lebih cepat," ujar Reus.

Dortmund menikmati kemenangan 2-0 hasil jaringan Michy Batshuayi dan Mario Gotze dalam separuh masa kedua, membolehkan BVB kini menduduki tangga ketiga Bundesliga dengan 37 mata.