Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, menegaskan skuad Harimau Malaya belum boleh mendabik dada biarpun berjaya melakukan peningkatan dalam ranking dunia menjelang pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 serta kelayakan Piala Asia 2023.

Skuad negara menunjukkan peningkatan paling positif apabila naik sembilan anak tangga untuk menghuni kedudukan ke-159 dunia dalam ranking terbaru FIFA.

Ia susulan rentetan kemenangan yang diraih skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu ke atas Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan sebelum menewaskan Timor Leste 12-2 secara agregat dalam saingan playoff kelayakan Piala Dunia 2022.

Peningkatan ranking itu menawarkan kedudukan lebih baik untuk undian pusingan kedua Julai ini, namun Akmal mengakui ia tetap tidak menjamin laluan mudah buat skuad Harimau Malaya.

"Kita tidak boleh terlalu mendabik dada selepas mencatat keputusan (agregat) 12-2. Saya rasa itu bukan pengukur terbaik kerana pasukan yang menanti dalam pusingan seterusnya jauh lebih baik dan banyak perkara yang perlu Malaysia perbaiki," katanya.

Bekas penyerang Kedah itu juga menegaskan kejayaan menundukkan Timor Leste tidak boleh dijadikan ukuran terhadap kemampuan skuad negara untuk bersaing dalam pusingan kedua kelayakan, sebaliknya berasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, terutama aspek bertahan.

"Malaysia perlu membentuk kekuatan lebih di barisan pertahanan. Saya rasa bahagian depan mempamerkan kombinasi yang baik. Jadi, bahagian bawah perlu diutamakan oleh Cheng Hoe."