ZON TENGAH 5 ZON UTARA 0

Keampuhan pasukan Zon Tengah sukar digugat apabila muncul juara Kejohanan Kem Bolasepak Remaja Alliaz selepas menewaskan Zon Utara menerusi kemenangan selesa 5-0, petang tadi.


Zon Tengah yang diterajui oleh pemain dari Akademi Bolasepak Felda United turun sebagai pilihan berdepan Zon Utara.

Babak pertama berlangsung seimbang dengan masing-masing cuba mempamerkan corak permainan terbuka.

Begitupun, penyudah lebih berkesan Nor Nabil Nasrun serta Mohd Hafiz Izzudin membolehkan Zon Tengah menamatkan babak pertama dengan selesa.

Rentak itu kemudian diteruskan oleh Zon Tengah dalam babak kedua dengan Nor Nabil sekali lagi menemui sentuhan jaringan disusuli dua lagi gol, masing-masing oleh Amirul Sudirman serta R. Kumaran untuk memastikan kemenangan besar, sekaligus bergelar juara keseluruhan.

Selain muncul juara, empat pemain Zon Tengah, antaranya Kumaran serta penjaga gol, Ahsriq Izzat, dipilih dalam kelompok 10 terbaik dalam saingan AJFC Asia di Bangkok selama empat hari, bermula 16 Julai ini.

Dua pemain terbaik Malaysia pula akan terpilih menjalani latihan di Munich, Jerman, hujung bulan depan.

"Kejohanan seperti ini perlu diperbanyakkan supaya pemain-pemain muda mendapat pendedahan.

"Banyak kriteria diambil kira, iaitu daripada segi teknik, kepantasan dan cara berfikir manakala 10 pemain yang terpilih ini terdiri daripada pemain terbaik," kata ahli panel kejurulatihan AJFC, Mat Zan Mat Aris.