Daniel Phoon Chun Tuck dan Kumaran Raman telah terpilih untuk menjalani latihan di Munich, Jerman selepas tamat Kem Bolasepak Allianz Asia (AJFC), di Bangkok, Thailand, hari ini.

Selepas tamat AJFC yang disertai oleh 57 pemain-pemain muda berumur lingkungan 14 hingga 16 tahun, mereka telah berusaha untuk mempamerkan aksi terbaik untuk dipilih sebagai peserta terbaik.

Mengharungi cabaran dan rintangan bermula daripada peringkat zon, diikuti pentas akhir, dan kini dalam kem Asia, akhirnya teka-teki telah terjawab apabila dua peserta terbaik dari Malaysia, Daniel dan Kumaran dipilih menjalani latihan di Munich, Jerman.

"Saya sangat gembira kerana tidak sangka untuk berkelana di Jerman. Banyak pengalaman yang diraih dalam AJFC kali ini," kata Daniel Phoon Chun Tuck.

"Saya telah banyak mempelajari kemahiran baru di AJFC kali ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan jurulatih yang memberikan sokongan kepada saya," kata Kumaran Raman.

Kegirangan jelas terpancar di wajah dua anak muda ini, namun rakan seperjuangan yang tidak terpilih akur akan keputusan panel pemilihan malah berpendapat peluang sehingga peringkat ini menyuntik motivasi masa hadapan untuk ke arah lebih profesional.

"Ini merupakan pengalaman terbaik buat saya dan berkongsi bersama rakan-rakan untuk meningkatkan lagi mutu permainan pada masa akan datang," kata peserta AJFC, Muhammad Adam Nadzmi Zamri.

"Tidak terpilih untuk ke Munich, ia tidak akan menghentikan saya untuk berusaha mencapai impian saya," kata peserta AJFC, Eisanraaj Maniarasan.

Bagaimanapun, ini bukan titik noktah bagi mereka yang akan terus berjuang dalam mengejar impian sebagai pemain bolasepak ternama satu hari nanti kerana tidak dinafikan negara kita memiliki barisan pemain-pemain muda yang berbakat.