Kelab AirAsia All Stars FC membatalkan hasrat untuk mengambil alih tempat DRB-Hicom FC dalam saingan Liga Perdana musim depan kerana didorong oleh hasrat mahu melakukannya secara merit.

Timbalan Presiden AirAsia All Stars FC, Simon Lim, menjelaskan segala perbincangan dengan DRB-Hicom FC telah berakhir selepas pengurusan mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya, langkah terbaru mereka itu bertujuan memelihara semangat kesukanan dalam kalangan pasukan-pasukan lain.
"Memang pada mulanya kami mengadakan rundingan beberapa kali dengan DRB-Hicom.

"Selepas membuat pertimbangan, kami berasakan adalah lebih baik kami berjuang dari peringkat bawah untuk meraih kejayaan yang lebih manis," ujarnya.

Namun, Simon tidak menafikan hasrat untuk bersaing dalam Liga Perdana tahun depan, cuma semuanya bergantung kepada perancangan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Biarpun DRB-Hicom belum menarik diri secara rasmi, difahamkan semua pemain dan pegawai pasukan itu telah dilepaskan untuk menghadapi saingan tahun depan.

"Buat masa ini, kami telah mempunyai tonggak asas pasukan serta sedang memilih pemain.

"Jika kami dapat bermain dalam pusingan play-off (Liga Perdana), sememangnya kami sudah bersedia memandangkan sasaran awal kami adalah untuk bermain dalam Liga Perdana," tambahnya lagi.

Nadi Arena pada Khamis lalu melaporkan Pengurus Felcra FC, Mohd Fauzi Mohd Tahir, menuntut penjelasan FMLLP mengenai status pembelian AirAsia terhadap DRB-Hicom FC.