"Ini pertama kali kami akan bermusuh," itu pengakuan pasangan kembar, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Radzak, apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Perak bakal berentap dalam aksi Liga Super di Ipoh, esok.

Aidil dan Zaquan dua nama yang tidak asing dalam kancah bola sepak tempatan.

Mula mewarnai saingan Liga Malaysia pada 2006, pasangan kembar berusia 29 tahun kelahiran Seremban itu beraksi bersama dari 2006 hingga 2013 untuk tiga pasukan berbeza.

Mereka mula dipisahkan pada 2014 apabila Zaquan diturunkan ke JDT II, namun tidak pernah bertemu sesama sendiri dalam tempoh tiga tahun kemudian.

Tetapi, penghijrahan Zaquan ke Perak musim ini memaksa kedua-duanya dipertemukan sebagai musuh di atas padang buat pertama kali dalam karier masing-masing.

"Sebelum ini, saya tidak pernah (bertemu sebagai lawan), jadi perasaan tu memang bersemangat untuk bermain. Orang pun ramai nak tengok," kata Zaquan, yang bermain di posisi sayap.

"Tetapi dalam masa yang sama, kami mesti bersikap profesional. Kami bermain demi lencana di dada tetapi di luar padang kami tetap adik beradik. Hubungan tu ada tetapi di dalam padang kami ketepikan sekejap."

Sementara itu, pertahanan JDT, Aidil, berkata: "Kami rasa ia agak janggal kerana ini kali pertama saya bertemu adik sendiri dengan berlainan pasukan. Dalam padang, kami bermusuhan tetapi di luar padang, kami adik beradiklah."