Pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Razak, tidak berdepan masalah untuk bergandingan dengan Shahrom Kalam di barisan terakhir menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam ini.

Sebelum ini, Aidil sudah bergandingan dengan pertahanan Perak itu ketika berdepan Syria dan Myanmar, membuatkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yakin dapat mengawal benteng Malaysia daripada dibolosi.

"Setakat ini, saya tidak berdepan masalah untuk bergandingan dengan Sharom kerana sebelum ini pun saya sudah beraksi bersamanya, jadi tiada masalah dari segi persefahaman.

"Kami sedar daripada kesilapan sebelum ini ketika aksi persahabatan dan kami sudah bersedia untuk berdepan Hong Kong," katanya.

Aidil juga menyifatkan tempoh masa yang lama diraih oleh skuad kebangsaan bagi mempersiapkan diri kali ini memberikan impak besar kepada setiap pemain berbanding sebelum ini sambil optimis Malaysia mampu menundukkan Hong Kong.

"Kali ini kami bersama lebih lama, menjalani latihan lebih panjang dan saya serta rakan-rakan tidak boleh memberikan sebarang alasan untuk tidak menampilkan aksi terbaik, malam ini."