"Saya seakan-akan tidak percaya dapat kembali menyarung jersi Merah Kuning," kata penyerang, Afiq Azmi, apabila ditawarkan tempat bersama Selangor bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2017.

Tidak dinafikan, karier Afiq menyerlah ketika bersama Selangor sebelum ini sehingga berjaya dipanggil mewakili skuad Harimau Malaysia pada tahun 2015.

Namun, keputusannya berhijrah ke Negeri Sembilan tahun lalu tidak berjalan seperti diharapkan tatkala jarang diberi peluang untuk beraksi.

Biarpun mendapat tawaran daripada beberapa pasukan, dia mengakui peluang kedua untuk mewakili Selangor tidak boleh dilepaskan.

"Memang tidak terlintas langsung tetapi apabila peluang itu datang, saya terus setuju kerana saya sangat gembira mewakili pasukan ini.

"Banyak pengalaman manis bersama Selangor, jadi itu antara faktor utama saya setuju kembali," ujarnya.

Bercakap mengenai skuad berpangkalan di Shah Alam itu musim ini, Afiq melihat pasukan itu mempunyai skuad seimbang antara gabungan pemain senior dan muda.

Dia percaya jika majoriti pemain muda ini dibimbing dengan cara yang betul, mereka mampu menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada pasukan.

"Ada baiknya kerana setiap pasukan perlu seimbang. Saya rasa jika pemain muda ini belajar banyak daripada pemain senior, ia akan membantu pasukan menjadi lebih ampuh," tambahnya.