Persatuan Pemain Bolasepak Sepanyol (AFE) mengkritik perjanjian yang dicapai LaLiga dengan syarikat media, sukan dan hiburan multinasional, Relevant, yang akan mengadakan perlawanan penting di Amerika Syarikat (AS).

Semalam, pihak LaLiga dan Relevent -- kumpulan yang bertanggungjawab menganjurkan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) -- mengumumkan perjanjian selama 15 tahun yang merangkumi rancangan untuk mengadakan perlawanan utama buat julung kalinya di AS pada musim panas nanti.

Presiden LaLiga, Javier Tebas, melahirkan harapan bahawa perjanjian itu akan "menjadi dorongan utama dalam usaha menaikkan populariti sukan itu di AS dan Kanada", begitupun persatuan yang mewakili pemain itu berang dengan cadangan tersebut.

Menurut satu kenyataan daripada AFE: "Berhubung perjanjian yang telah ditandatangani di antara LaLiga dan Relevent, AFE membantah sekeras-kerasnya.

"LaLiga mengetepikan pendapat para pemain dan melibatkan pemain dalam tindakan yang hanya memberi manfaat kepada LaLiga tanpa menghiraukan kesihatan dan risiko pemain, tidak memikirkan kekalutan kelab yang terpaksa beraksi di wilayah Amerika Utara sekali dalam semusim.

"Presiden AFE, David Aganzo, meluahkan rungutan itu secara terbuka sambil menyatakan bahawa 'pemain bola sepak bukannya mata wang yang boleh digunakan bagi tujuan perniagaan yang hanya memberi manfaat kepada pihak ketiga'."