"Tidak yakin pada kami, tidak mengapa," kata pertahanan skuad B-19 negara, Feroz Baharudin, yang mahu memastikan ramalan mereka akan tersingkir awal dalam Kejohanan AFC B-19 akan meleset dengan cuba meraih enam mata maksimum dalam dua lagi baki perlawanan Kumpulan D.

Pemain yang berasal dari Johor itu memahami kenapa peminat negara kurang yakin dengan kemampuan skuad ini walaupun muncul juara Piala AFF B-19 2018 selain layak ke Kejohanan AFC secara merit.

Jelasnya, ia mungkin disebabkan ramai pemain dalam skuad ini kurang dikenali, yang menjadikan peminat sangsi sejauh mana keupayaan skuad kendalian Bojan Hodak itu boleh memberi saingan di peringkat Asia.

Ditambah kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi pada Sabtu lalu, sudah ada suara-suara meramalkan skuad ini akan tewas sekali lagi kepada Tajikistan.

"Kami akan cuba melakukan kejutan dalam perlawanan ini. Barisan pemain akan cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan kemenangan," kata Feroz.

Untuk aksi kedua Kumpulan D itu, Feroz dijangka mengambil tempat Anwar Ibrahim sebagai pertahanan kanan dan semangat pemain itu dilihat cukup membara bagi menghadapi Tajikistan.

Mengetahui reputasi lawan mula dipandang tinggi selepas mengejutkan China 1-0, ia langsung tidak mengendurkan keyakinan Feroz bahawa skuad negara boleh meraih kemenangan.

"Saya bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama. Saya mahu memastikan persembahan yang terbaik untuk Malaysia."