Pertahanan skuad bawah 23 tahun negara, Adam Nor Azlin, bersikap 'gentleman' apabila kembali menyerahkan mandat kapten pasukan itu kepada Muhammad Adib Zainudin sejurus perjuangan mereka dalam Kejohanan AFC B-23 di China berakhir kelmarin.

Adam menyarung lilitan kapten skuad muda Malaysia sepanjang kejohanan itu selepas Adib gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu membalas kepercayaan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, menerusi kepemimpinan terpuji sama ada di dalam mahu pun di luar padang.

Berjaya menunjangi pasukannya mencipta kejayaan bersejarah dalam kejohanan tersebut, Adam bagaimanapun kembali melepaskan tanggungjawab kepada rakannya itu.

"Saya tidak boleh pintas Adib sebab saya hormatinya sebagai kapten yang telah diamanahkan oleh jurulatih. Saya hanya pembantu.

"Mungkin kali ini dia tidak dapat bermain dan saya diberikan amanah untuk menjadi kapten. Pun begitu, bagi saya, saya tetap pembantu dan dia tetap ketua pasukan skuad B-23," katanya.

Menafikan tindakan itu dilakukannya kerana provokasi daripada penyokong negara, Adam juga menegaskan hubungannya dengan Adib adalah seperti biasa.

Apa pun, Adam enggan lagi memikirkan perkara itu, sebaliknya mahu meraikan pencapaian bermakna pasukan negara dalam kejohanan itu walaupun terkandas dalam suku akhir.

"Selalunya orang tengok kita Malaysia ini suka main hantaran jauh tetapi, bagi saya, dalam bola sepak itu biasa.

"Tetapi, mungkin kita perlu ubah landskap bola sepak supaya kita banyak bermain hantaran pendek dan menjaringkan gol di luar jangkaan," ujarnya.

Malaysia bangkit melakar kejutan menewaskan Arab Saudi 1-0 selepas tewas 1-4 kepada Iraq dan seri 1-1 dengan Jordan dalam peringkat Kumpulan C.

Mereka kemudian terus menunjukkan aksi cemerlang sekalipun tews 2-1 kepada Korea Selatan dalam suku akhir, kelmarin.