Tonggak skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria, sedar mereka perlu turun bermati-matian menentang Indonesia dalam perlawanan pertama Kumpulan H, kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, petang ini.

Misi skuad muda negara untuk ke pusingan akhir di China bermula dengan menentang musuh tradisi itu sambil serba kekurangan berbanding skuad lawan yang tiba di Bangkok lebih awal untuk persiapan menghadapi kempen berkenaan.

Begitupun, keyakinan anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak tergugat apabila bertekad mengerah segala kudrat demi negara.

"Bagi saya secara peribadi, mahu ataupun tidak, kami perlu berusaha bermati-matian, janji pasukan kita Malaysia menang. Saya dan pemain negara lain akan memberikan prestasi yang terbaik," kata Adam.

Turut meluahkan nada sama, Irfan berkata: "Saya harap semua pemain memberikan 100 peratus dan mengikut cara taktikal yang jurulatih Datuk Ong Kim berikan selama ini."

Adam dan Irfan berdepan tugasan penting apabila akan mengemudi benteng akhir skuad negara, dan sudah tentu pengalaman mereka ketika kempen kelayakan terdahulu pada 2015, kini ditagih Kim Swee untuk memastikan Malaysia muncul dua pasukan terbaik Kumpulan H.