Gernot Rohr percaya pasukan muda kendaliannya, Nigeria, menghadapi saingan Piala Dunia empat tahun lebih awal tetapi berharap mereka mampu mengawal tekanan yang dihadapi.

Nigeria akan memulakan saingan di Russia menentang Croatia bagi aksi Kumpulan D, awal pagi esok, sebelum menyambung cabaran berdepan Argentina dan Iceland.

Bagaimanapun, Rohr berharap pasukannya yang dilihat kurang daripada segi pengalaman mampu mempamerkan persembahan membanggakan dan ia menjadi sasaran utama skuad.

"Kami sedar akan tekanan yang ada dan sentiasa berdepan dengannya. Aksi kelayakan juga mempunyai tekanan tersendiri," ujar Rohr.

"Namun, saya yakin kami akan membuatkan warga Nigeria gembira.

"Kami mempunyai skuad termuda, jadi mungkin Piala Dunia ini terlalu awal buat mereka dan saingan pada 2022 bakal menjadi medan sebenar.

"Kami hanya mahu memberikan kegembiraan dan ia bukan sekadar keputusan perlawanan tetapi turut melibatkan disiplin serta corak permainan. Bola sepak harus memberikan sebuah nilai kepada negara ini," tambahnya.