Sebahagian besar pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga M) berteraskan persatuan bola sepak negeri dan masih bergantung penuh kepada peruntukan dana daripada kerajaan negeri.

Terdahulu, saingan Liga Semi Pro diperkenalkan pada 1989 sebelum bola sepak tempatan menjadi profesional sepenuhnya pada 1994 di mana ia mula dikenali sebagai Liga M sebelum saingan Liga Super diperkenalkan pada 2004.

Namun, selepas 12 tahun, sebahagian besar pasukan negeri masih seperti sebelum saingan semi pro diperkenalkan.

Kali ini, menjelang saingan musim 2017, peminat tempatan dikejutkan dengan pengakuan terbuka tiga pasukan, Kelantan, Perlis dan Selangor, yang tidak mempunyai dana mencukupi untuk beraksi dalam saingan musim depan dan tidak menolak kemungkinan menarik diri.

"Persatuan negeri masih lagi keberatan untuk menyerahkan tugas dan tanggungjawab, khususnya dalam aspek pemasaran, kepada pihak ketiga," kata pemerhati sukan, Rizal Hashim.

"Bola sepak sudah menjadi satu industri di mana mereka perlu bijak merancang dan memikirkan bagaimana untuk mencari dana.

"Sebenarnya, dengan populasi Kelantan, Selangor dan juga Perlis, kalau mereka pandai merancang strategi pemasaran, saya kira mereka boleh mengutip kewangan melalui barangan dagangan dan penajaan," ujar seorang lagi pemerhati sukan, Hasnizam Uzir.

Sebahagian besar pasukan negeri jelas terlalu bergantung kepada dana kerajaan negeri atau penaja utama serta tiada perancangan memajukan program pembangunan akar umbi.

Liga kini sudah diswastakan sejak 2015 dan Liga M ditadbir oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

Langkah seterusnya, sudah pasti penswastaan pengurusan setiap pasukan yang disarankan badan itu serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memastikan setiap pasukan lulus syarat pelesenan kelab yang diperkenalkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2014.

Tujuan AFC memperkenalkan syarat pelesenan kelab adalah untuk membantu meningkatkan kelab di negara-negara ahli gabungannya, termasuk Malaysia, namun setakat ini hanya Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berjaya lulus.

"Apa yang penting adalah mentaliti, kesediaan dan keinginan untuk kita berubah.

"Kalau tiada keinginan untuk mengubah kepada model yang lebih baik sekarang, sudah jelas kita dapat berasakan model ketika ini tidak kena," ujar Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

"Kalaulah JDT berada di landasan yang betul, maka saya fikir semua pasukan negeri kena ikut JDT buat.

"Dah lama kita cakap mengenai pengurusan biarlah profesional, tak guna kita ada pemain profesional tetapi tidak ada pengurusan yang profesional," kata bekas pengendali Harimau Malaysia, B. Sathianathan.

Apa yang mengekang pengurusan setiap pasukan daripada lulus syarat perlesenan itu dan apakah FMLLP mencapai objektif penubuhannya?

Mampukah pengurusan setiap pasukan di Malaysia menghadapi perubahan ke arah pentadbiran yang profesional sepenuhnya?

Ikuti siri kedua laporan khas anjakan saujana pengurusan bola sepak Malaysia selepas ini yang akan memaparkan kaedah perubahan yang boleh diambil pasukan-pasukan Liga M dan contoh terbaik dalam kalangan negara serantau.