Bahangnya cukup panas menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Tiket perlawanan T-Team menentang Selangor habis dijual dalam tempoh kurang sejam.

Beratur seawal pagi di stadium bukan jaminan terbaik untuk mendapatkan tiket perlawanan pada Sabtu.

Tetap ada yang pulang hampa apabila kaunter tiket yang kononnya menawarkan 10,000 keping tiket untuk penyokong habis terjual dalam tempoh 45 minit sahaja.

"Dari jam 6.30 pagi saya sudah mula beratur untuk membeli tiket, Alhamdulillah saya berjaya untuk mendapatkan tiket tetapi melihat kepada penyokong yang lain beratur tetapi gagal mendapatkan tiket, saya berasa kasihan melihat mereka. Berapa ribu sebenarnya tiket yang dijual?," soal seorang peminat The Titans.

Situasi tersebut juga menimbulkan kemarahan orang ramai kerana tiada sebarang makluman yang mengesahkan tiket aksi pada Sabtu sudah habis terjual, membuatkan rata-rata mereka memilih untuk terus menunggu dengan harapan kaunter tiket akan kembali dibuka.

"Saya menunggu dari jam 8.00 pagi untuk mendapatkan tiket tetapi hampa kerana tiket tiada, sudah habis dijual.

"Pihak yang berkenaan sepatutnya memaklumkan lebih awal apabila tiket sudah habis kerana ramai lagi yang beratur untuk mendapatkan tiket. Pada masa yang akan datang, pastikan penjualan tiket lebih baik daripada yang telah mereka lakukan kali ini," ujar seorang penyokong setia T-Team.

Turut berkongsi kekecewaan seorang lagi penyokong T-Team yang meluahkan rasa tidak puas hati ekoran tiada sebarang maklumat yang diterima mengenai adakah tiket masih lagi dijual atau pun sudah habis.

"Sebagai rakyat Terengganu saya berasa amat kecewa kerana sudah tiga jam menunggu, tetapi masih belum dapat membeli tiket.

"Tiada sebarang maklumat adakah tiket masih ada lagi atau sudah habis dijual. Kami yang berada di barisan hadapan berasa sangat marah dengan keadaan ini, bayangkan mereka yang berada di barisan belakang," keluh seorang penyokong yang gagal mendapatkan tiket pertemuan T-Team menentang Selangor.

Kaunter tiket dibuka tepat jam 9.30 pagi dengan mengehadkan pembelian sebanyak tiga keping sahaja untuk seorang pembeli.