Bola Sepak Pantai AFC: Malaysia atasi China 2-1

By Staff Writer 8 March 2017 1260
Bola Sepak Pantai AFC: Malaysia atasi China 2-1
Malaysia menamatkan Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC dengan kemenangan tipis 2-1 mengatasi China di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang ini.

Dua minit perlawanan bermula, skuad negara memperoleh gol pendahuluan menerusi sepakan gunting ketua pasukan, Mohd Zahirim Mohd Yusof, untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Chang Rui Qi.

Khairul Azizi Norwawi hampir menggandakan jaringan buat Malaysia tetapi tolakannya di depan pintu gol China pada minit ke-10 dihalang Liu Yi Si.

Skuad kendalian Ismail Zakaria itu terus mengejutkan kem pelawat selepas percubaan menarik Mohamad Fakhruddin Mohamad dari sudut sukar berjaya menerjah jaring gol China (m-12).

Pada suku kedua, sepakan jarak jauh Mohd Khairul Nizam pada minit ke-15 nyaris memberi gol ketiga negara, malangnya sekadar menyinggahi palang gol lawan.

Seminit kemudian, China merapatkan kedudukan menjadi 1-2 selepas Yi Si menyempurnakan sepakan percuma di tengah padang.

Tiada tambahan jaringan disaksikan dalam suku ketiga walaupun skuad negara mempunyai deretan peluang, terutama daripada Mohd Fakhrullah Mohammad (m-27) dan Mohd Shafiq Riza Kuzairi (m-35), malangnya gagal menemui sasaran.

Dengan slot ke separuh akhir sudah tertutup selepas tiga kekalahan sebelum ini, Malaysia mengakhiri kempen di kedudukan keempat Kumpulan A dengan mengumpul tiga mata, China di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
 

About Author

Staff Writer

Comment