Zaquan mahu buru gol bertemu Afghanistan

By Ammar Hakim 11 October 2016
Zaquan mahu buru gol bertemu Afghanistan

Penyerang negara, Zaquan Adha Abdul Radzak, menyifatkan jaringannya ketika bertemu Afghanistan lapan tahun lalu sebagai suntikan semangat untuk pertemuan dengan lawan yang sama malam ini.

Zaquan menjaringkan satu gol ketika skuad negara bimbingan B. Sathianathan membelasah Afghanistan 6-0 pada 2008.

Ketika itu, pemain kelahiran Negeri Sembilan ini bergandingan dengan Nizaruddin Yusof di jentera serangan.

Zaquan dijangka diberikan peluang beraksi untuk pertemuan malam ini selepas mempamerkan aksi memuaskan ketika aksi persahabatan menentang Singapura, Jumaat lalu.

“Walaupun kami menang 6-0 ke atas mereka sebelum ini, kami akan berdepan kualiti yang berbeza kali ini,. Saya menghormati mereka dan berharap setiap pemain memberikan tumpuan untuk perlawanan ini,” kata Zaquan.

Tonggak Johor Darul Ta'zim II (JDT II) ini, bagaimanapun, mengakui kualiti skuad Afghanistan ketika itu tidak sama seperti skuad kali ini yang rata-ratanya dibarisi pemain yang berpangkalan di Eropah.

“Kemenangan yang lepas menjadi semangat saya untuk kembali beraksi di pentas antarabangsa, saya  tidak boleh terlalu yakin untuk perlawanan ini, saya mahu mempamerkan aksi yang terbaik.”

Anda boleh menyaksikannya siaran langsung perlawanan persahabatan Harimau Malaysia menentang Afghanistan pada jam 8.30 malam ini di Astro Arena 801 dan 802 HD.

About Author

Ammar Hakim

Comment