Zaquan akui lebih bersedia pikul amanah negara

By Shaiful Shamsudin 18 March 2017
Zaquan akui lebih bersedia pikul amanah negara
Tonggak Harimau Malaysia, Zaquan Adha Abdul Radzak, menyifatkan penghijrahannya ke Perak musim ini memberinya ruang untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugasan antarabangsa.

Bagi Zaquan, ketika dipanggil kembali ke skuad negara musim lalu oleh pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, dia berdepan sedikit kesukaran kerana beraksi dalam saingan Liga Perdana bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) II ketika itu. 

Bagaimanapun, penyertaannya bersama The Bos Gaurus membolehkan Zaquan lebih mudah menyesuaikan diri dengan saingan peringkat antarabangsa. 

"Saya berasa prestasi ketika ini lebih bagus berbanding tahun lalu kerana bermain di tahap yang berbeza. 

"Tahun lalu, saya beraksi dalam Liga Perdana dan musim ini dalam Liga Super. 

"Tahap permainan dan kecergasan dalam kedua-dua kancah itu mungkin berlainan. Ia sedikit-sebanyak membantu saya ketika dipanggil skuad kebangsaan," ujarnya. 

Zaquan adalah antara lima pemain Perak yang memperkuatkan skuad negara bagi menghadapi aksi persahabatan dengan Filipina, 22 Mac ini. 

Mengulas mengenai perlawanan itu, pemain kelahiran Negeri Sembilan itu bertekad untuk membantu kemenangan negara dalam usaha memperbaiki ranking dunia skuad kebangsaan. 

"Ini perlawanan sulung kami selepas kempen Piala Suzuki AFF 2016. 

"Kami tidak boleh mengambil mudah dan kami perlu menjadikan perlawanan ini penting kerana ia dapat membantu negara memperbaiki ranking."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment