Zahasmi dapat undi percaya KAFA untuk pulihkan TRW

By Ammar Hakim 28 February 2017
Zahasmi dapat undi percaya KAFA untuk pulihkan TRW

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan tidak akan merehatkan ketua jurulatihnya, Zahasmi Ismail, ekoran tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini, sebaliknya terus memberi sokongan padu untuknya memulihkan prestasi pasukan.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md. Noor,  menjelaskan satu pertemuan tertutup di antara pPemangku Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah, dan ketua jurulatih telah diadakan di Wisma KAFA, petang kelmarin berikutan prestasi buruk TRW.

“Pihak pengurusan berasakan satu 'post mortem' perlu dibuat serta-merta untuk mendengar sendiri masalah yang membelengu pasukan sehingga kami kalah tiga perlawanan berturut-turut di gelanggang sendiri. 

“Setakat ini, KAFA mempunyai kepercayaan penuh bahawa ketua jurulatih dapat memulihkan skuad dengan sumber  yang ada. Kami memberi kuasa penuh kepada Zahasmi untuk melakukan apa-apa yang perlu demi kebaikan pasukan," katanya kepada media.

Ditanya mengenai desakan penyokong supaya Zahasmi direhatkan akibat prestasi buruk Kelantan di gelanggang sendiri, Ismail menjelaskan KAFA mendengar semua pandangan yang diberikan tetapi setakat ini masih percaya kepada kredibiliti ketua jurulatihnya.

“Kami menghormati pandangan peminat (desakan merehatkan Zahasmi) tetapi KAFA percaya dalam suasana begini, kami mempunyai banyak pengalaman dalam soal penukaran jurulatih.

"Pengalaman yang lepas banyak memberi pengajaran kepada kami. Buat masa ini, jurulatih perlu diberi  keyakinan dan kekuatan untuk memulihkan TRW,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment