Yusoff, Subahan pilihan pemerhati bola sepak

By Shaiful Shamsudin 23 February 2017
Yusoff, Subahan pilihan pemerhati bola sepak
Menjelang pemilihan dalam Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke-53, pemerhati bola sepak negara berpandangan Datuk Wira Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal mempunyai karisma untuk menyandang kerusi jawatan nombor dua badan induk itu walaupun pengalaman luas dimiliki oleh timbalan sedia ada.

Perebutan jawatan timbalan presiden FAM tampak sengit biarpun Datuk Rozabil Abdul Rahman menarik diri pada saat-saat akhir.

Pertembungan itu membabitkan saingan tiga penjuru di antara Yusof dan Subahan yang tampil mencabar penyandangnya, Datuk Seri Afandi Hamzah. 

Afandi optimis terhadap peluangnya untuk mempertahankan jawatan itu selepas mendakwa berjaya memimpin FAM dalam fasa sukar. 

Namun, pandangan berbeza disuarakan pemerhati bola sepak negara. 

"Datuk Subahan telah membimbing Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai presiden dan saya nampak perkembangannya begitu pesat sekali. 

"Sementara itu, Datuk Yusof pula, kita dapat lihat bagaimana beliau bimbing Melaka United dari Liga FAM sehingga layak ke Liga Super. 

"Pencapaian ini tidak boleh dipandang ringan," kata pemerhati bola sepak dan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar. 

Apa pun, mereka berharap 39 perwakilan daripada 20 ahli gabungan yang memilih kelak, tidak terpengaruh dengan calon popular atau kempen oleh pihak tertentu untuk memenangi jawatan.

"Bagi saya, mereka harus bijak agar tidak terpengaruh dengan kempen.  

"Ini bahaya... kerana pada akhirnya, kalau kita tidak pilih dengan betul, ia akan merugikan bola sepak Malaysia," ujar pemerhati bola sepak, Jalil Ramli.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment