Ujian Filipina juga mampu beri manfaat buat skuad B-22 -- Bernhardt

By Staff Writer 1 December 2016
Ujian Filipina juga mampu beri manfaat  buat skuad B-22  -- Bernhardt
Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Frank Bernhardt, tidak melihat perlawanan menentang Myanmar yang dibatalkan menjejaskan perancangannya kerana berasakan pertemuan dengan Filipina juga mampu memberikan manfaat kepada anak buahnya untuk aksi penutup musim ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam mengesahkan aksi persahabatan skuad B-22 negara menentang Myanmar yang dijadualkan berlangsung di Yangon pada 9 dan 12 Disember ini dibatalkan.

Menurut Bernhardt, aksi itu akan digantikan dengan perlawanan bertemu Filipina di Manila pada 8 Disember.

Sememangnya anak buah Bernhardt akan diuji dengan cabaran yang lebih hebat jika berdepan Myanmar berbanding Filipina, namun pengendali dari Jerman itu tetap bersikap positif terhadap perubahan itu.

"Filipina mungkin tidak begitu kuat, tetapi saya perlu tekankan bahawa kami telah bertemu dengan Filipina pada awal tahun.

"Saya berharap akan ada banyak perubahan pada barisan pemain mereka kali ini dan memberikan tentangan kepada kami," jelas Bernhardt.

Untuk rekod, Skuad Projek Sukan SEA 2017 menewaskan Filipina bawah 22 tahun 4-1 ketika aksi sulung mereka tahun ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Mac lalu.

Dalam pada itu, kapten pasukan, Adib Zainuddin, enggan mengambil mudah pertemuan menentang Filipina kali ini.

"Perlawanan pertama kami tahun ini menentang Filipina. Bagaimanapun, kami tidak boleh memandang rendah kepada pasukan Filipina yang pernah kami tewaskan sebelum ini.

"Kami perlu kekal fokus dan membuktikan kami boleh menghasilkan keputusan yang lebih baik walaupun bertemu dengan pasukan yang pernah kami lawan," ujar Adib.

Skuad B-22 negara menjalani sesi ujian kecergasan pada hari pertama kem latihan pusat di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, hari ini.

About Author

Staff Writer

Comment