Ubah sikap, tunjuk semangat melawan yang tinggi malam ini - Zahasmi

By Ammar Hakim 1 March 2017
Ubah sikap, tunjuk semangat melawan yang tinggi malam ini - Zahasmi

Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, percaya semangat melawan yang tinggi mampu menjadi senjata utama The Reds Warriors (TRW) untuk keluar daripada badi kekalahan tiga perlawanan berturut-turut apabila menentang Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam ini.

“Saya mahu pemain kami mengubah sikap dan pamerkan semangat juang yang tinggi semasa bertemu Perak malam ini. Tanamkan sepenuh keyakinan bahawa TRW mampu memberikan aksi terbaik dan jangan cepat mengalah biarpun sedang ketinggalan.

“Satu perlawanan yang menarik dan sukar sebenarnya menentang Perak di gelanggang mereka. Namun, kami akan cuba menyerap segala tekanan untuk mencuri mata di Ipoh,” katanya. 
 
Zahasmi juga menjelaskan tidak banyak rombakan yang bakal dilakukan kerana kesuntukan masa dan berharap tonggak senior sentiasa memberi aksi lebih baik dan membimbing pemain muda.

“Kami (TRW) akan menggunakan pemain yang ada untuk menghadapi Perak malam ini. Pemain senior akan dikekalkan bagi memberi keseimbangan dalam pasukan. Harap mereka dapat bimbing pemain muda dan jangan melakukan kesilapan mudah,” katanya.
 
Ditanya mengenai peluang penyerang import, Alessandro Celin, untuk diturunkan malam ini, Zahasmi menjelaskan pemain itu masih belum pulih sepenuhnya dan terlepas peluang untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Selain Celin, Norfarhan (Muhammad) dan Daudsu (Jamaluddin)  bakal tersisih malam ini akibat kecederaan.

“Namun, kami harap penyerang utama, Muhammad Ghaddar, dapat beraksi untuk menambah sengat di barisan serangan,” katanya.

Zahasmi turut menuntut pertahanan import dari Gambia, Mamadou Danso, supaya membuktikan kehebatan sebenar untuk mengawal barisan pertahanan daripada mudah dibolosi penyerang lawan.

“Dia sepatutnya memainkan peranan lebih efektif di benteng pertahanan. Terus fokus di atas padang dan jangan lakukan kesilapan sebagaimana tiga perlawanan terdahulu,” katanya.

Kelantan turun dengan misi untuk sekurang-kurangnya memungut satu mata dari Ipoh dan menghapuskan igauan ngeri tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super.

About Author

Ammar Hakim

Comment