Tunku Ismail, Annuar calon akhir rebut jawatan presiden FAM

By Ammar Hakim 20 February 2017
Tunku Ismail, Annuar calon akhir rebut jawatan presiden FAM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa secara rasmi bakal berhadapan satu lawan satu  untuk merebut jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017 hingga tahun 2021.

Setelah diberi tempoh masa seminggu, Tunku Ismail dan Annuar kekal dengan pendirian bertanding yang bermakna pemilihan pada 25 Mac depan dijangka cukup menarik untuk disaksikan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam sidang media selepas mesyuarat eksekutif FAM kali ke-11, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dua nama yang turut dicalonkan, iaitu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat, namun mereka berdua menolak pencalonan berkenaan.

Untuk jawatan timbalan presiden, tiada nama Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman, yang sebelum ini diuar-uarkan bakal bertanding.

Beliau telah membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk tidak bertanding biarpun pada awalnya menerima pencalonan.

Antara calon yang akan bertanding jawatan timbalan presiden ialah Datuk Wira Yusoff Mahadi, Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, sembilan individu yang dicalonkan kekal bertanding jawatan naib presiden.

Sembilan individu berkenaan ialah Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk S. Sivasundram, Johari Ayub, Datuk Abdul Ghani Hassan, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Shamsul Anwar Sulaiman, Datuk Astaman Abdul Aziz dan Marzuki Sulong.

About Author

Ammar Hakim

Comment