Tiga calon bertanding kerusi timbalan presiden FAM

By Ammar Hakim 20 February 2017
Tiga calon bertanding kerusi timbalan presiden FAM

Jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan ditandingi tiga calon selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Rozabil Abdul Rahman, membuat keputusan menarik diri pada saat-saat akhir.

Sebelum ini, diramal akan ada pertandingan empat penjuru bagi dua kerusi timbalan presiden, namun penarikan diri Rozabil dilihat sedikit mengejutkan.  

Tanpa ada sebarang alasan kukuh, petanda Rozabil tidak akan bertanding sudah dapat dilihat apabila beliau tidak hadir dalam mesyuarat eksekutif kali ke-11, hari ini.

Kini hanya tinggal Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk Seri Subahan Kamal bakal mencabar penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Sementara itu, Afandi optimis peluangnya untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden pada penggal akan datang selepas berjaya memimpin FAM dalam fasa sukar.

“Saya akan cuba untuk mempertahankan jawatan yang saya yang disandang sebelum ini. Saya menerima secara terbuka pandangan bahawa perlu ada muka baru di dalam organisasi ini,” kata Afandi.

Bagi Yusoff, beliau seperti memberikan satu petanda mahu bekerjasama dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim jika terpilih menjadi timbalan presiden FAM.

“Saya sedia memberikan kerjasama kepada Tunku Ismail walaupun beliau masih belum memberitahu secara terperinci misi dan visi, tetapi ia dilihat sangat jelas mampu meningkatkan semula mutu bola sepak negara,” katanya.

Sementara itu, calon bagi naib presiden serta exco bersedia untuk bertugas tanpa mengira siapa individu yang memperoleh mandat sebagai presiden.

Malah, mereka bersedia untuk sebarang perubahan radikal sekiranya berupaya menyumbang kepada komponen utama bola sepak negara seperti prestasi skuad senior kebangsaan dan liga Malaysia.

“Saya berpendapat mana-mana individu yang dipilih untuk menjadi presiden, perkara yang paling penting adalah untuk memperbaiki sukan bola sepak negara dan bukan untuk kepentingan diri sendiri,” ujar calon exco, Aziz Yeop.

“Realitinya, peminat bola sepak negara melihat kepada skuad Malaysia, kami akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membantu meningkatkan mutu pasukan,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad, terbuka dengan senario dia tidak dicalonkan untuk mempertahankan jawatan.

Bagi Mokhtar, yang akan berehat daripada sebarang aktiviti bola sepak termasuk bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sudah tiba masa FAM memandang kepada muka baru.

“TMJ telah membuktikan sesuatu kepada negeri Johor, impak yang diberikan oleh JDT kepada Liga Malaysia, sudah tiba MASA TMJ berhijrah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment