The Titans bakal sunting Samassa

By Ammar Hakim 7 January 2017
The Titans bakal sunting Samassa

Pembantu ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, mengakui bekas pemain kebangsaan Mali, Mamadou Samassa, berjaya mencuri perhatian barisan kejurulatihan untuk menjadi pemain import keempat pasukan itu, musim ini.

“Kami telah menilai corak permainannya dalam aksi pra-musim di ibu negara minggu lalu dan Samossa seorang pemain yang serba boleh.

“Ketua jurulatih, Rahmad Darmawan, mahukan seorang pemain yang beraksi sebagai pemain tengah selain mampu memikul tanggungjawab selaku penyerang utama jika Farhod (Tadjiyev) cedera atau digantung.

“Seperti (Makan) Konate yang digugurkan, Samassa boleh beraksi di dua posisi itu, jadi berkemungkinan dia menjadi pilihan pihak pengurusan sebagai pemain import terakhir kami,” katanya.

Selain Samassa, 30, yang berpengalaman beraksi bersama kelab terkemuka Liga Perancis, Le Mans dan Marseille, serta Chievo dalam Serie A Itali, turut diuji pasukan itu ialah pemain dari Uzbekistan, Shavkat Salomov, 31.

“Salomov beraksi dengan cukup baik di bahagian tengah, namun gagal berfungsi sebagai penyerang.

“Seperti musim lalu, ketika Patrick Cruz tidak dapat beraksi, (Makan) Konate berupaya mengisi posisi penyerang, itu yang dimahukan Rahmad (Darmawan).

“Pihak pengurusan dan ketua jurulatih akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan kuota empat pemain import T-Team,” tambahnya lagi.

About Author

Ammar Hakim

Comment