The City Boys langkah kanan

By Ammar Hakim 21 January 2017
The City Boys langkah kanan

Pengendali Kuala Lumpur, Wanderley Junior, memuji skuad kendaliannya kerana berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama Liga Perdana, malam tadi.

Kuala Lumpur memulakan saingan Liga Perdana 2017 dengan langkah kanan apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

“Saingan dalam perlawanan pertama setiap musim agak sukar buat setiap pasukan tetapi kami berjaya meraih keputusan positif dengan membawa pulang tiga mata yang penting,” kata Junior.

Kedua-dua pasukan turun dengan pengendali baru musim ini dan mengharapkan permulaan positif buat musim 2017.

Pasukan pelawat memulakan perlawanan dengan corak lebih tersusun dan berjaya membuka tirai menerusi jaringan pada minit keempat apabila kegagalan Helmi Rameli menyekat hantaran lawan ke dalam kotak penalti Kuala Lumpur, membolehkan Nicholas Fernandes Alberto meraih gol  pembukaan.

Tersentak, Kuala Lumpur mula mengatur gerakan serangan ke arah kubu lawan, hasilnya mereka berjaya menyamakan pada minit ke-20 menerusi Boburjan Akbarov.

Gol itu memberi keyakinan buat Kuala Lumpur dan mereka berjaya meledak gol kedua 11 minit kemudian menerusi percubaan Ibrahim Syaihul.

JDT II menjelmakan corak permainan agresif pada babak kedua dalam usaha meraih jaringan penyamaan, namun benteng Kuala Lumpur terus ampuh hingga wisel penamat.

Jurulatih JDT II, Hamzani Omar, menyifatkan kegagalan pemain-pemainnya memberikan tumpuan merupakan punca mereka bolos dua gol dalam babak pertama perlawanan.

“Kami gagal memberikan fokus selepas mendahului perlawanan. Ia punca kami bolos dua kali dalam separuh masa pertama.

"Kami cuba mengasak pasukan lawan dalam babak kedua, namun gagal meraih sebarang mata dalam perlawanan ini. Saya harap pemain akan bangkit dalam perlawanan akan datang,” jelas Hamzani.

About Author

Ammar Hakim

Comment