Thailand nafi hajat Malaysia ungguli Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN 2016

By Shaiful Shamsudin 9 December 2016
Thailand nafi hajat Malaysia ungguli Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN 2016
Malaysia kempunan untuk muncul juara edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN 2016 apabila tumpas 3-1 kepada Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Mini Angkatan Tentera Malaysia (MINDEF), hari ini. 

Malaysia bermula dengan langkah kanan apabila memperolehi gol pertama hasil jaringan kapten pasukan, Ramhatuddin Huzaizi, pada minit keempat meskipun sepakan penalti yang diambil pada awalnya ditepis penjaga gol Thailand, Chanachon Sattasuvaja. 

Thailand kemudian menggandakan asakan dan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-19 menerusi Chiraphan Sirithongsawang. 

Gol itu seakan-akan memberi semangat buat skuad Gajah Putih dan hasilnya, Thailand mendahului 2-1 berselang 10 minit,  sekali lagi menerusi Sirithongsawang. 

Menuju minit akhir separuh masa pertama, Thailand menjadikan kedudukan 3-1, kali ini berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh Danai Munggomklang. 

Meskipun Malaysia cuba mengasak pada separuh masa kedua, namun benteng pasukan Thailand kelihatan kebal untuk ditembusi pasukan negara. 

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menobatkan Thailand selaku juara edisi pertama Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak ASEAN. 

"Kami sebenarnya boleh menyaingi mereka meskipun kemahiran kami belum cukup bagus.

"Kami harap akan bertambah maju dan kami terima keputusan hari ini dengan hati terbuka.

"Kebanyakan pemain kami tercedera tadi. Bagaimanapun, kami tetap bersyukur dengan sokongan penonton dan akan kembali bangkit pada 2017 nanti," kata Ramhatuddin. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment