Terkejut dicalonkan jawatan timbalan presiden FAM, Ahmad Razif belum buat keputusan

By Shaiful Shamsudin 28 January 2017
 Terkejut dicalonkan jawatan timbalan presiden FAM, Ahmad Razif belum buat keputusan
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, mengakui masih belum membuat sebarang keputusan berhubung pencalonannya untuk kerusi timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya amat terkejut dengan pencalonan ini memandangkan PBSNT sendiri tidak mencalonkan saya.

“Malah, saya sendiri tidak tahu berapa jumlah persatuan bola sepak yang mencalonkan saya, jadi saya tidak boleh beri sebarang komen lagi buat masa ini.

“Pelbagai perkara perlu diambil kira, antaranya kesibukan saya dalam tugas-tugas rasmi untuk menjaga kebajikan negeri Terengganu.

“Namun, saya akan melihat perkara ini dengan teliti serta mempertimbangkan sebaik-baiknya sebelum sebarang keputusan yang tepat dapat dibuat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu adalah antara lima nama yang dikatakan tercalon bagi merebut jawatan kedua tertinggi badan induk itu dalam Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac ini.

Antara nama lain yang tercalon adalah Setiausaha Agung FAM, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden sedia ada, Datuk Seri Afandi Hamzah, Naib Presiden, Datuk Rozabil Abdul Rahman, EXCO FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan bekas naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment