"Terima kasih kerana beri saya peluang” -- Amiridzwan

By Ammar Hakim 12 December 2016

"Terima kasih kerana beri saya peluang,” itu reaksi bekas pertahanan skuad kebangsaan, Amiridzwan Taj, selepas pasukan PKNS FC sah mendapatkan khidmatnya bagi saingan Liga Malaysia musim 2017.

Kecederaan lutut yang dialami semasa sesi pra-musim bersama Terengganu awal tahun ini menutup peluang Amiridzwan untuk beraksi sepanjang tahun ini.

Malah, atas faktor itu juga, kontraknya bersama Skuad Penyu ditamatkan lebih awal.

Ternyata ia memberi kesan tersendiri buat pemain berusia 30 tahun ini untuk membina semula kariernya.

Beberapa sesi ujian dilalui bekas pertahanan ATM dan Kelantan ini sebelum kelibatnya mendapat perhatian pengendali PKNS FC, E. Elavarasan.

Ternyata kepercayaan yang diberikan Elavarasan serta pengurusan PKNS FC mahu dibalasnya  sebaik mungkin dalam membantu pasukan itu.

“Saya memang ada mencari pasukan, jurulatih Elavarasan menilai saya melalui aksi persahabatan dan dari situ mereka mendapatkan khidmat saya. Jurulatih juga tidak memberikan tekanan, malah memberikan masa untuk saya kembali ke tahap terbaik,” ujar Amiridzwan.

Dalam pada itu, Amiridzwan tidak bimbang mengenai permasalahan pendaftaran pasukan PKNS FC bagi musim 2017.

Jelasnya lagi, apa yang mustahak kini adalah untuk mendapatkan semula rentak dan tahap kecergasan permainan supaya mendapat peluang untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

“Saya yakin tiada masalah mengenai perpindahan saya ke pasukan ini, PKNS hanya memerlukan pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jadi saya berpendapat tiada sebarang masalah yang akan berlaku.”

Pada usianya yang mencecah 30 tahun, pemain kelahiran Kelantan ini masih dianggap relevan dalam membantu memperkuat kubu pasukan.

Antara kejayaan yang menaikkan namanya adalah membarisi skuad ATM ketika muncul juara Liga Perdana dan naib juara Piala Malaysia pada 2012.

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Lim Chi Wing tebus kekecewaan 2014

By Amirul Azreen 11 Disember 2016. 12.54 PM