"Tahun ini bukan rezeki buat saya" - Jasmir Mehat

By Ammar Hakim 1 October 2016

"Saya anggap tahun ini bukan rezeki saya untuk menyumbang apa-apa tetapi saya sangat gembira apabila Melaka United dinobatkan sebagai juara Liga Perdana 2016."

Demikian kata pemain Melaka United, Jasmir Mehat, yang menganggap dirinya masih tidak menyumbang apa-apa buat skuad Hijau Putih itu.

Anak jati Melaka ini mahu berbakti buat skuad Hang Tuah itu jika pihak pengurusan Melaka United Soccer Association (MUSA) masih memerlukan kelincahannya.

Memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak sejak berumur 12 tahun melalui Sukan Malaysia (Sukma) Melaka, Jasmir kemudian diserapkan ke skuad Piala Presiden Melaka, dan seterusnya memikat jurulatih, Ladislav Totkovic, pada musim 2014.

Jasmir berazam untuk memberikan yang terbaik buat Melaka United jika masih dikekalkan dalam skuad Liga Super 2017.

Malah, dia bertekad untuk mengubah corak permainannya dan menunjukkan lebih kesungguhan dalam sebarang perlawanan.

Jasmir turut berterima kasih kepada semua yang menyokongnya tanpa henti, terutama ahli keluarganya yang tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlawanan yang dia beraksi.

About Author

Ammar Hakim

Comment