T-Team atasi saingan sengit Tampines Rovers

By Ammar Hakim 17 January 2017
T-Team atasi saingan sengit Tampines Rovers

Pasukan berstatus kelab, T-Team, menamatkan persiapan pra-musim dengan kemenangan 2-1 mengatasi pasukan Liga Singapura, Tampines Rovers, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Penyerang import dari Uzbekistan, Farhod Tadjiev, hampir meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelima, namun rembatan kencangnya sekadar menggegar palang gol pelawat.

Tiga minit kemudian, giliran rakan senegaranya, Dilshod Sherofetdinov, menguji barisan pertahanan Tampines, menyaksikan percubaannya tepat ke dakapan penjaga gol.

T-Team mendahului pada minit ke-25 selepas Abdoulaye Maiga yang tidak dikawal menanduk masuk sepakan penjuru Mohd Fakhrurazi Musa.

Penjaga gol Tampines, Izwan Mahbud, menyelamatkan gawangnya daripada terus dibolosi apabila menepis sepakan Farhod pada minit ke-30.

Penyerang kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal, turut memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-4, namun rembatannya mudah dibaca penjaga gol tuan rumah, Mohd Izzuddin Hussin.

Gol penyamaan Tampines hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi Ivan Dzoni yang membuat satu percubaan dari jarak dekat untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Separuh masa kedua menyaksikan Tampines hampir mengejutkan kem tuan rumah tetapi Izzuddin sekali lagi menafikan rembatan Khairul Amri pada minit ke-69.

Enam minit kemudian, Mohd Takiyuddin Roslan menggembirakan lebih 2,000 penyokong tuan rumah dengan gol kemenangan selepas menolak masuk hantaran Mohd Azrean Abd Aziz.

 

About Author

Ammar Hakim

Comment