Syafiq sedia beraksi dalam kesebelasan utama

By Ammar Hakim 30 October 2016
Syafiq sedia beraksi dalam kesebelasan utama

Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad, bersedia dengan panggilan kecemasan daripada pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe, untuk diturunkan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.

Syafiq sememangnya seorang pemain yang dalam keadaan bersedia di bangku pemain simpanan sepanjang musim ini.

Masih cetek pengalaman, ini juga susulan gandingan import, Shane Smeltz dan Thiago Augusto, menjadi pilihan utama Cheng Hoe.

Namun, dikhabarkan Thiago dilanda kecederaan, sekali gus meletakkan Syafiq dalam kemungkinan untuk diturunkan berdepan Selangor.

“Pada saya, mana-mana pun boleh. Jika dipilih untuk beraksi dalam kesebelasan utama mahupun pemain gantian, saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu pasukan,” ujar Syafiq.

Meskipun jarang beraksi bersama skuad Hijau Kuning, ketajaman penyudah Syafiq tetap berbisa.

Ia terbukti ketika dia mewakili skuad bawah 22 tahun negara apabila meledak dua gol untuk menewaskan Brunei 2-0 pada 6 Oktober lalu.

“Sejak awal musim lagi, Piala Malaysia merupakan sasaran pasukan, kami sepasukan akan memberikan yang terbaik untuk menebus kekalahan musim lalu,” katanya.

About Author

Ammar Hakim

Comment