Suraya mahu tingkatkan mutu bola sepak wanita negara

By Ammar Hakim 26 March 2017
Suraya mahu tingkatkan mutu bola sepak wanita negara

Ahli Exco Wanita, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob, bertekad membawa perubahan positif untuk pembangunan bola sepak wanita selepas berjaya memegang jawatan dalam kepimpinan yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Suraya meraih undi tertinggi dengan 24 undian daripada perwakilan, dengan satu lagi kerusi exco wanita diisi Shafizah Umamah Abdul Mutalib.

Kedua-duanya mengetepikan lima calon lain, termasuk penyandang jawatan, Datuk Norhuda Ahmad dan Normala Yusoff.

Terharu diberikan kepercayaan dalam pemilihan itu, Suraya mahu memastikan bola sepak wanita mendapat tumpuan seimbang oleh kepimpinan baru FAM.

"Kami memerlukan lebih banyak daripada peringkat negeri. Saya berharap dengan pembentukan aspirasi baru di dalam FAM, ia akan membantu untuk meningkatkan mutu bola sepak wanita," katanya.

Suraya bukan individu asing untuk warga sukan tanahair kerana beliau juga merupakan Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia.

Memastikan sukan itu cemerlang di pentas Sukan SEA, Suraya yakin bola sepak wanita juga mampu menyumbang perkara positif untuk pembangunan bola sepak negara secara keseluruhan.

"Jika mula bermain seawal usia lima tahun, kami percaya bola sepak tidak akan tertumpu kepada lelaki sahaja. Saya yakin dengan sokongan rakyat, kualiti bola sepak dapat ditingkatkan."

 

About Author

Ammar Hakim

Comment