Sukan SEA: SEAGF tolak permohonan Singapura

Oleh Ammar Hakim 21 Mac 2017
Sukan SEA: SEAGF tolak permohonan Singapura

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) menolak permohonan Singapura untuk membenarkan atlet para menyertai acara Sukan SEA 2017 melainkan mereka mampu dan bersedia mengikut peraturan temasya itu setaraf atlet normal.

SEAGF menolak permintaan Singapura mengenai penglibatan atlet para dalam temasya itu yang melibatkan bantuan atau peralatan kurang upaya.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, menegaskan dalam mesyuarat Exco SEAGF hari ini, hanya atlet yang benar-benar berkemampuan sahaja boleh menyertai Sukan SEA seperti Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly. 

Ini kerana mereka berada dalam kategori kurang upaya intelektual dan bebas daripada sebarang bantuan untuk berada setaraf dengan atlet normal.

"Jika atlet para mahu beraksi dalam Sukan SEA, mereka perlu bebas daripada sebarang bantuan," kata Tunku Imran.

Selain itu, wakil panel dari negara Asia yang menghadiri mesyuarat terbabit menerima baik cadangan MOM yang memperkenalkan Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) yang akan dipengerusikan oleh Malaysia dan setiap seorang wakil dari empat negara lain, iaitu Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Comment