Sukan SEA: Pujuk atau cari pengganti jurulatih futsal wanita

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Februari 2017
Sukan SEA: Pujuk atau cari pengganti jurulatih futsal wanita
Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi, akan mengadakan perbincangan dengan jurulatih futsal wanita negara, Fairuz Mohd Noor, dan pembantunya, Ruzaley Abd Aziz, bagi menyelesaikan kemelut yang melanda pasukan itu.

Fairuz dan Ruzaley dilaporkan meninggalkan tugas sebagai pengendali futsal wanita negara selepas tidak berpuas hati dengan kontrak yang ditawarkan kepada mereka. 

Justeru, Yusoff mahu menyelesaikan perkara ini dengan secepat mungkin memandangkan Malaysia berdepan kesuntukan masa untuk membuat persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan. 

"Masalah kontrak yang menyebabkan Fairuz meninggalkan pasukan. 

"Masalah ini, kalau boleh dapat dileraikan, saya tidak menolak kemungkinan Fairuz akan kembali jika kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding. 

"Ini semua cuma salah faham. Kalau boleh, kita selesaikan dengan cara baik," katanya. 

Yusoff juga menekankan jika perkara ini tidak dapat diselesaikan secara baik, maka FAM mungkin mempertimbangkan untuk melantik calon lain membimbing skuad futsal wanita negara. 

Tugas itu kini dipikul Muizzudin Haris buat sementara waktu sejak Fairuz dan Ruzaley mengambil keputusan meninggalkan skuad itu sejak sebulan lalu. 

"Kalau memang mereka dah tak boleh bersama pasukan wanita ini, kami akan akan segera cari pengganti lain. 

"Saya berpendapat skuad futsal wanita negara berpeluang untuk meraih pingat dalam Sukan SEA nanti."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment