Sukan SEA: Pasukan kelab, negeri tuntut FAM usulkan program B-22

Oleh Shaiful Shamsudin 4 Februari 2017
Sukan SEA: Pasukan kelab, negeri tuntut FAM usulkan program B-22
Pengurus Selangor, Abdul Rauf Ahmad, terkejut dengan pengumuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu skuad bola sepak Sukan SEA 2017 mula berkumpul Mei depan tatkala dia menjangkakan perkara itu masih dalam fasa perbincangan. 

Selangor antara pasukan yang akan menerima kesan terbesar kerana dijangka kehilangan Syahmi Safar, Adam Nor Azlin dan K. Kannan. 

Biarpun Selangor boleh berlembut dengan melepaskan pemain terbabit, Rauf mahu FAM menggunakan saluran yang betul, iaitu mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). 

Malah, dia juga mempersoalkan kebajikan pemain serta perancangan mengenai latihan skuad B-22 dari Mei hingga ke Sukan SEA mampu diperjelaskan lebih terperinci.

"Kami ingin tahu terlebih dahulu bagaimana mekanisme mengumpulkan pemain-pemain ini dalam tempoh jangka panjang kerana ingin tahu perjalanan program ini dari segi kebajikan, atur acara perlawanan dan sebagainya.

"Kami mahu memastikan pemain-pemain muda kami boleh menimba pengalaman dan kesinambungan selepas menggalas tugas untuk negara," ujarnya. 

Sementara itu, Kuala Lumpur boleh menerima hasrat FAM, tambahan mereka sudah bersedia kehilangan Mohd. Irfan Zakaria dan Ariff Anwar. 

Senada dengan Selangor, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, berharap satu perbincangan antara semua pihak segera diadakan. 

"Sebenarnya, kami keberatan untuk melepaskan pemain Kuala Lumpur kerana kami yang membayar gaji mereka.

"Kami mahu mereka bermain untuk Kuala Lumpur kerana peluang untuk bermain dalam kancah kompetitif. 

"Kalau kami benarkan mereka dikumpulkan awal sekalipun, adakah ia dapat membantu kami membentuk sebuah pasukan yang mantap?

"Sebab di negara lain, mereka hanya dikumpulkan dalam tempoh seminggu," kata Nokman pula. 

Dalam pada itu, skuad B-22 negara bakal berdepan Vietnam dalam satu aksi persahabatan, 7 Februari depan. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment