Sukan SEA: Farhan, Wei Fu sasar lakar kejutan

Oleh Ammar Hakim 20 Februari 2017
Sukan SEA: Farhan, Wei Fu sasar lakar kejutan

Dua atlet judo lelaki negara, Mohd Farhan Uzair dan Chong Wei Fu, berharap mereka mampu melakar kejutan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur biarpun tidak ramai pihak yakin dengan keupayaan mereka untuk meraih pingat emas.

Farhan, yang sebelum ini kecewa dengan pungutan gangsa sahaja dalam dua edisi lalu, berharap tuah bumi sendiri akan memihak kepadanya.

Dia, yang akan bertanding dalam kategori 73kg, mengakui cabaran hebat pasti akan datang daripada peserta pilihan dari Indonesia dan Thailand yang merupakan finalis di Sukan SEA Singapura 2015.

“Indonesia dan Thailand bakal menjadi pencabar utama kami kerana mereka memiliki pengalaman beraksi dalam kejohanan yang lebih tinggi. Mereka telah mengambil inisiatif untuk ke Korea bagi menjalani latihan intensif,” kata Farhan.

Sementara itu, Wei Fu, yang beraksi untuk kategori 66kg, gembira atas kepercayaan jurulatih, Marjan Abdullah, yang memilihnya untuk meneruskan latihan di Mongolia dari Mac hingga Julai ini.

Dia mahu mengambil peluang berguru selama lima bulan di sana untuk memperbaiki beberapa kelemahannya sebelum bertanding dalam Sukan SEA.

“Saya sangat  bertuah kerana dapat berlatih di Mongolia dan akan cuba yang terbaik untuk memberikan pingat emas dalam Sukan SEA. Saya perlu perbaiki teknik serta ketangkasan bagi menghadapi kejohanan ini,” jelas Wei Fu.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Comment