Sukan SEA: Bernhardt belum sedia berundur, ikrar sahut cabaran terus kemudi pasukan

Oleh Shaiful Shamsudin 9 Februari 2017
Sukan SEA: Bernhardt belum sedia berundur, ikrar sahut cabaran terus kemudi pasukan
Tiada istilah meletak jawatan buat ketua jurulatih skuad B-22 negara, Frank Bernhardt, biarpun anak buahnya masih gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam setiap perlawanan persahabatan setakat ini. 

Bagi Bernhardt, dia tetap akan meneruskan amanah yang diberikan sebaik mungkin sehingga tibanya Sukan SEA Kuala Lumpur 19-31Ogos nanti. 

Tewas 3-0 ketika berdepan Vietnam dalam aksi persahabatan antarabangsa dua hari lalu, pasti ia satu keputusan yang mengecewakan tetapi itu tidak bermakna dia harus melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja. 

Kelemahan bukanlah terletak di bahu jurulatih atau pemain sendiri tetapi masa yang singkat untuk mengumpulkan kesemua pemain tetap menjadi punca utama aksi hambar anak buahnya. 

"Saya masih mempunyai kontrak dan akan mematuhinya. 

"Ini bukan masanya untuk saya memikirkan soal (kontrak ini). 

"Saya akan menggalas tugas dalam Sukan SEA dengan kontrak saya akan tamat pada Disember. 

"Selepas itu, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. 

Tambah jurulatih dari Jerman itu, sasaran untuk meraih pingat di pentas dwitahunan itu masih lagi realistik dan mengharap mereka mampu membuktikan sesuatu terlebih dahulu dalam Kejohanan B-22 Piala Dubai, bulan depan. 

"Kejohanan B-22 Piala Dubai diadakan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebab itu saya mengharapkan kelab-kelab (Liga Malaysia) dapat melepaskan pemain mereka. 

"Selain itu, kami juga berdepan tempoh yang singkat untuk membentuk pasukan."
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Comment