Subkhiddin mahu bentuk lebih ramai pengadil muda

By Ammar Hakim 21 March 2017
Subkhiddin mahu bentuk lebih ramai pengadil muda

Bekas pengadil negara, Subkhiddin Mohd Salleh, berhasrat membentuk lebih ramai kelompok pengadil muda di negara ini sekiranya terpilih selaku ahli jawatankuasa eksekutif dalam Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sabtu ini.

Baginya, ia dianggap satu pengiktirafan bahawa pembabitan golongan pengadil dalam bola sepak tempatan tidak dipandang sepi.

Kehadiran Subkhiddin yang merupakan pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari tahun 2008 hingga 2011, dalam senarai 17 calon exco FAM, jelas sesuatu yang menarik perhatian.

Terkejut meraih pencalonan, Subkhiddin sudah memiliki perancangan, terutama aspek pembaikan kualiti pengadil di negara ini.

Salah satunya adalah mahu melahirkan lebih ramai pengadil muda untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.

"Saya memiliki perancangan yang mahu diterjemahkan untuk menghasilkan lebih ramai pengadil muda di masa akan datang supaya tidak bergantung kepada pengadil-pengadil sedia ada," katanya.

Dalam masa sama, Subkhiddin menzahirkan satu petanda positif apabila melihat dua lagi bekas pengadil, Jamil Zakaria dan Nik Ahmad Yaakob turut tersenarai selaku calon exco FAM.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mencalonkan saya, ini merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan sistem pengadilan di Malaysia."

About Author

Ammar Hakim

Comment