Subahan janji jalankan tugas secara adil

By Ammar Hakim 25 March 2017
Subahan janji jalankan tugas secara adil

Datuk Seri Subahan Kamal yang meraih undi tertinggi bagi jawatan timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan beliau tidak merancang untuk melepaskan jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) kerana yakin mampu memberikan komitmen terhadap semua tugas berkenaan secara adil.

Cubaan kali kedua Subahan akhirnya membuahkan hasil selepas tewas dalam pemilihan penggal lalu apabila meraih 37 undi daripada 38 perwakilan yang hadir dalam pemilihan hari ini.

Biarpun beliau turut menyandang jawatan presiden KHM serta FAS, Subahan memberi jaminan beliau akan meletakkan tugasnya selaku timbalan presiden FAM sebagai keutamaan.

"Saya rasa ia tidak akan memberikan sebarang masalah, kepercayaan telah diberikan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini," katanya.

Rakan sejawatannya, Datuk Wira Yusoff Mahadi, pula memperjelaskan beliau sudah ada banyak perancangan untuk pembangunan futsal dan bola sepak pantai negara.

Kegagalan beliau menganjurkan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) tahun lalu, katanya, tidak wajar diungkit lagi memandangkan FAM berdepan masalah penajaan apabila Felda menarik diri pada saat-saat akhir.

"Kami bukan sahaja akan melihat kepada bola sepak, penekanan turut akan diberikan kepada futsal serta bola sepak pantai," ujarnya.

About Author

Ammar Hakim

Comment