Skuad B-22 jalani latihan penuh dari Mei hingga Ogos depan

By Staff Writer 24 September 2016
Skuad B-22 jalani latihan penuh dari Mei hingga Ogos depan

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan skuad B-22 tahun kebangsaan kendalian Frank Bernhardt akan menjalani latihan pusat sepenuhnya dari Mei sehingga Ogos tahun depan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur.

Dari bulan Januari hingga April, sistem panggilan pemain yang diterapkan kini akan diteruskan.

"Kami akan memuktamadkan persiapan. Kami akan menghantar surat rasmi kepada semua ahli gabungan dalam masa terdekat, mungkin minggu depan. Panggilan akan dipecahkan kepada dua, iaitu panggilan skuad kebangsaan dan latihan pusat penuh," katanya.

Hamidin juga berharap kegagalan Bernhardt bersama skuad bawah 19 tahun dalam saingan Piala AFF di Hanoi baru-baru ini, tidak dijadikan ukuran kemampuan pengendali itu bersama barisan bawah 22 tahun negara.

Ini kerana tidak kesemua pemain dalam skuad bawah 19 tahun akan membentuk barisan negara yang akan beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Pasukan bawah 22 tahun bimbingan Bernhardt adalah berbeza, pasukan tersebut menggabungkan pemain yang berbeza. Untuk skuad bawah 19 tahun, mungkin hanya seorang atau dua pemain yang akan dipilih. 

"Seperti apa yang difahami, pemain skuad bawah 19 tahun akan beraksi dalam Sukan SEA yang seterusnya."

Bernhardt mula dilantik selaku pengendali skuad muda negara pada penghujung Disember 2015. Daripada sembilan perlawanan yang telah dilalui, skuad bimbingannya mencatatkan kemenangan dua kali, seri dan kalah tiga kali. 

Skuad muda negara juga telah mengahsilkan 12 gol, namun turut bolos 12 gol. Ia juga merupakan senario yang membimbangkan, dengan Sukan SEA akan berlangsung tak sampai setahun lagi. 

 

About Author

Staff Writer

Comment