Shukor: Sathia hadir tepat pada masa

By Ammar Hakim 6 March 2017
 Shukor: Sathia hadir tepat pada masa

Ketua pasukan Felda United, Shukor Adan, gembira dengan kehadiran B. Sathianathan yang hadir tepat pada masanya untuk membawa cabaran pasukan itu mengharungi aksi kedua Piala AFC bertemu kelab Vietnam, Hanoi FC, malam esok.

Sejak kehadiran Sathianathan, Felda United masih belum tewas dalam tiga perlawanan terakhir dan berjaya melonjakkan kedudukan pasukan dari tempat ke-11 untuk berada di tangga ketujuh liga.

Tonik itu dilihat menjadi pemangkin semangat buat Felda dalam mencari kemenangan sulung dalam saingan Piala AFC berdepan Hanoi FC, juara Liga Vietnam musim lalu.

“Kami memang memerlukan seorang jurulatih berpengalaman seperti Sathianathan. Kami akan cuba mengikut taktikal yang diberikan oleh beliau yang diharap mampu membantu kami mengelak daripada kehilangan mata,” kata Shukor.

Sementara itu, ketua pasukan Hanoi FC, Gonzalo Marronkle, mengakui mereka sedikit gusar ekoran prestasi tidak menentu dalam Liga Vietnam apabila sekadar seri dalam empat perlawanan terakhir.

Namun, memandangkan situasi sama yang dialami Felda yang meraih dua kemenangan dalam lapan perlawanan Liga Super, dia yakin peluang kedua-dua pasukan mencari kemenangan adalah seimbang.

“Jurulatih bakal menurunkan kesebelasan terbaik menghadapi perlawanan ini, saya menjangkakan saingan yang sengit oleh kedua-dua pasukan,” jelas Marronkle.

About Author

Ammar Hakim

Comment