Shahrom: Skuad negara perlu bangkit

By Ammar Hakim 9 October 2016
Shahrom: Skuad negara perlu bangkit

Tonggak pertahanan negara, Shahrom Kalam, mengakui pemain baru dalam skuad negara perlu meningkatkan usaha untuk segera menyesuaikan diri dengan aksi antarabangsa selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Singapura pada Jumaat.

Bagi Shahrom, hanya dengan kesungguhan dan komitmen tinggi berterusan pemain baru, mereka mampu mencapai peningkatan beraksi di peringkat tertinggi.

Shahrom, yang baru pulih daripada kecederaan lutut, masuk pada babak kedua berdepan Singapura selepas Khairul Helmi Johari tampak berdepan kesukaran menangani asakan lawan pada babak pertama.

“Ini merupakan persiapan kami menjelang Piala Suzuki AFF, jadi mana-mana pemain yang berpeluang untuk beraksi perlu mengambil peluang ini untuk menyesuaikan diri bersama pasukan,” katanya.

Namun, Shahrom optimis skuad negara masih di landasan terbaik untuk meningkatkan prestasi menjelang Piala Suzuki AFF bulan depan.

Nada sama turut disuarakan kapten skuad negara, Amri Yahyah, yang berasa aksi dengan Singapura mendedahkan beberapa kelemahan yang perlu ditingkatkan pemain.

“Bagi saya, itu semua terletak pada keputusan jurulatih. Setiap pemain harus memberikan komitmen dan persembahan yang terbaik. Saya berharap rakan sepasukan dapat memberikan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya,” ujar Amri.

About Author

Ammar Hakim

Comment