Shahrom sedia berdepan cabaran fizikal Filipina

By Shaiful Shamsudin 22 March 2017
 Shahrom sedia berdepan cabaran fizikal Filipina
Tonggak pertahanan skuad Harimau Malaysia, Shahrom Kalam, sedia menangani corak permainan fizikal barisan serangan Filipina dalam aksi persahabatan antarabangsa, malam ini. 

Shahrom menyedari Filipina kerap menggunakan kelebihan fizikal rangkaian serangan mereka seperti Phil Younghousband dan Misagh Bahadoran. 

Namun, Shahrom percaya dia dan rakan-rakan lain di posisi pertahanan mampu menangani ancaman serangan Filipina. 

"Itu semua bukan semua masalah kalau kami memberi fokus dan komitmen yang lebih di atas padang.

"Moral kami dalam keadaan baik, semua pemain tahu tugas masing-masing untuk mendapatkan keputusan (kemenangan)," katanya. 

Turut melontarkan nada keyakinan ialah ketua pasukan, Amri Yahyah. 

Amri, yang bakal mengisi posisi sayap kiri, optimis kesemua pemain sudah bersedia menghadapi Filipina. 

"Saya tidak ada masalah untuk bermain di posisi itu kerana di Melaka United pun, saya bermain di bahagian sayap. 

"Saya berharap siapa jua yang diturunkan esok, akan memberikan yang terbaik. 

"Walaupun ini adalah perlawanan persahabatan, kami perlu melakukan sesuatu untuk pasukan kebangsaan agar tidak dipandang serong pada masa akan datang," kata pemain berusia 36 tahun itu. 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment