Shahrom jamin Harimau Malaysia tampil aksi lebih berkesan

By Ammar Hakim 13 November 2016
Shahrom jamin Harimau Malaysia tampil aksi lebih berkesan

Pertahanan skuad kebangsaan, Shahrom Kalam, memberikan jaminan bahawa pasukannya bakal menampilkan aksi lebih berkesan sebagai jawapan kepada persoalan sejauh mana persediaan Malaysia untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki kali ini.

Shahrom berkata persiapan skuad negara berjalan lancar dan menepati perancangan seperti disusun jurulatih, Datuk Ong Kim Swee.

Shahrom menjelaskan aksi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea esok bakal menjadi bukti dan penilaian akhir sebelum berangkat ke Myanmar.

"Kami berada dalam keadaan yang bersedia, setiap perancangan dapat dijalankan dengan lancar," kata Shahrom.

Dalam pada itu, pemain Papua New Guinea, David Muta, yakin mampu mengulangi kejayaan sama seperti yang dilakukan ketika menewaskan barisan negara 2-0, Jun lalu.

"Setiap pemain sudah bersedia dan mereka tidak sabar menantikan perlawanan itu," kata David.

Sementara itu, pemain pertahanan, Ronny Harun, hanya menjalani latihan di tepi padang, seolah-olah memberikan bayangan terkini bahawa dia antara dua pemain yang bakal digugurkan skuad negara untuk Piala AFF Suzuki.

Ronny, yang mengalami kecederaan pangkal paha, sekadar membuat larian biasa bersama Ahmad Khuzaimi Piee yang turut mengalami kecederaan.

Ronny kini di bawah pengawasan jurulatih kecergasan, Reuban Jude, sebelum Kim Swee membuat keputusan rasmi mengenai pengguguran pada Selasa ini.

“Pengumuman akan dibuat pada Selasa. Saya akan berbincang dengan staf kejurulatihan saya untuk memilih pemain yang akan ke Myanmar.”

Malaysia akan menentang Papua New Guinea dalam perlawanan persahabatan 'A' di Stadium Shah Alam, esok, jam 3 petang.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengumumkan kemasukan untuk menyaksikan perlawanan tersebut adalah percuma.

Lapan negara Asia Tenggara akan bersaing dalam Piala AFF Suzuki di Myanmar dan Filipina, 19 November-17 Disember ini. 

 

About Author

Ammar Hakim

Comment