Separuh Akhir Piala Solidariti AFC : Brunei- Macau saling menghormati

By Shaiful Shamsudin 10 November 2016
 Separuh Akhir Piala Solidariti AFC : Brunei- Macau saling menghormati
"Semua pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Solidariti AFC  adalah pasukan yang kuat," kata ketua jurulatih Brunei Darussalam, Kwon Oh Son.
 

“Ini termasuk Macau, yang akan kami temui dalam saingan separuh akhir pada Sabtu ini."

Menurut Kwon lgi, Macau mempunyai barisan serangan yang mantap, bahagian tengah yang kuat dan pertahanan yang kental.
 
“Ia merupakan satu pasukan yang cukup kuat. Kami amat gembira dapat bertemu pasukan yang kuat seperti Macau."

Bagaimanapun dalam saingan separuh akhir ini, ia adalah pertarungan kalah mati. Hanya ada pasukan yang menang atau kalah. Tidak ada peluang kedua selepas itu.
 
“Justeru kami melihat perlawanan ini amat penting dan genting.
 
“Penting untuk semua 22 pemain Brunei dan  Macau bermain dengan baik dan mencipta kemenangan untuk layak ke akhir."
 
Katanya lagi, kekalahan 0-3 kepada Nepal aksi terakhir kumpulan pada 8 November lalu seharusnya menjadi pengajaran kepada seluruh pasukan.
 
“Tidak perlu saya menegur. Para pemain sendiri faham kenapa mereka tewas. Apa masalahnya dengan mereka sendiri.
 
“Saya akan memberi maklum balas dan mereka harus menerimanya,” katanya lagi.
 
Kata Kwon, Macau merupakan bukan calang-calang pasukan apatah lagi mereka beraksi dengan begitu baik untuk menang dua perlawanan awal dan seri dalam perlawanan terakhir di peringkat kumpulan.
 
Brunei yang berkedudukan ranking ke-198 Fifa layak ke peringkat separuh akhir setelah membenam Timor-Leste 4-0 pada perlawanan pertama, sekali gus melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.
 
Ketua Jurulatih Macau, Tam Iao San bagaimanapun tidak terbuai dengan status sebagai juara Kumpulan B. Beliau sebaliknya menghormati keupayaan lawan, Brunei yang disifatkan sebagai mempunyai kekuatan yang seimbang di semua bahagian.
 
“Kedua-dua pasukan mahukan yang terbaik dan layak ke perlawanan akhir. Oleh kerana itu saya akan mengerahkan anak-anak buah saya bermain sebaik mungkin, dan mengukuhkan semangat berpasukan yang ada.
 
Macau yang berkedudukan ke-195 dalam ranking Fifa layak ke separuh akhir selepas menumpaskan Mongolia 2-1, menewaskan Laos 4-1 dan seri 1-1 kepada Sri Lanka.

Kedua-dua pasukan akan beraksi di Stadium Sarawak pada jam 7.30 malam pada Sabtu ini.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment