Sepak mula Liga Bola Sepak Rakyat malam ini

By Staff Writer 24 September 2016
Sepak mula Liga Bola Sepak Rakyat malam ini

Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) edisi 2016-2017 akan membuka tirai malam ini dengan menyaksikan pertemuan di antara Kuching FA dan Sri Aman FA di Stadium Negeri, Kuching.

Perlawanan itu dijangka akan dirasmikan oleh mantan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman.

Menurut Ketua Pegawai Operasi LBR, Azman Ibrahim, Kuching diberikan penghormatan sebagai tuan rumah kerana telah muncul juara sulung kejohanan ini pada tahun lalu.

“Dalam kejohanan kali ini, sebanyak 109 pasukan telah mengesahkan penyertaan.

"Mereka akan bertanding dalam lapan zon bagi mencari juara masing-masing sebelum peringkat akhir dilangsungkan.

“Daripada jumlah itu, Sarawak diwakili oleh 12 pasukan dan dibahagikan kepada tiga kumpulan,” katanya malam tadi.

Kata Azman, seperti tahun lalu, kejohanan kali ini turut menjanjikan habuan menarik, dengan juara akan membawa pulang RM100,000 manakala naib johan, RM75,000.

"Kami mengharapkan pertandingan kali ini akan terus membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kerajaan dalam mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam bola sepak.

"Terutamanya mereka yang tidak bernasib baik tidak dapat bermain untuk pasukan negeri," tambahnya.

Katanya, dalam kejohanan sulung itu, beberapa pemain berbakat telah berjaya dikesan dan ada antara mereka telah diserap masuk ke dalam pasukan belia, Piala Presiden mahupun Liga FAM.

"Malah, saya difahamkan ada pemain dari Miri telah disunting oleh PKNP Perak hasil daripada pertandingan ini.

"Pemain Kangar pula diserap ke dalam pasukan Perlis sementara pemain Besut dibawa masuk ke dalam pasukan Piala Presiden Terengganu," katanya.
 
Selepas pertemuan Kuching-Sri Aman pada malam ini, semua pasukan lain akan memulakan kempen liga di peringkat zon masing-masing pada 30 September dan 1 Oktober depan, dan akan berterusan sehingga April tahun depan.

Katanya, pada musim ini, setiap pasukan hendaklah mendaftarkan pemain yang berusia di bawah 28 tahun atau lahir pada tahun 1988 dan selepasnya, selain mewajibkan pendaftaran sekurang-kurangnya 10 pemain berusia 21 tahun ke bawah, yang lahir pada 1995 dan selepasnya.

"Dalam setiap perlawanan, sekurang-kurangnya seorang pemain muda ini diwajibkan beraksi, sesuai dengan objektif kita untuk mencungkil  bakat baharu," jelasnya.

About Author

Staff Writer

Comment