Selangor perlu ikut jejak langkah JDT -- Asmawi

By Ammar Hakim 16 November 2016
Selangor perlu ikut jejak langkah JDT -- Asmawi

Bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri, melihat krisis yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kerajaan negeri hanya mampu dileraikan menerusi penglibatan pihak Istana Selangor.

Menurut Asmawi, zaman kegemilangan The Red Giants pada era 70-an dan 80-an banyak dibantu dengan penglibatan pihak istana.

Bagi Asmawi, ia merupakan langkah terbaik bagi menamatkan sebarang pengaruh politik yang berlaku dalam kalangan ahi exco FAS sehingga sanggup membelakangkan kepentingan bola sepak Selangor.

“Bagi saya, mereka membelakangkan pengurusan atau orang yang membantu Selangor. Sebagai contoh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, ketika baginda masih Raja Muda Selangor yang menjadi tulang belakang kepada zaman kegemilangan The Red Giants,” kata Asmawi.

Mengambil contoh Johor Darul Ta'zim (JDT), Asmawi yakin Selangor mampu mengikut jejak langkah yang sama serta berupaya menyatukan pengurusan bola sepak Selangor.

Untuk jangka masa terdekat, Asmawi berpendapat exco FAS perlu segera berjumpa dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali, yang juga presiden FAS berhubung persiapan pasukan.

Tanpa sebarang dana, amat mustahil buat Selangor untuk bergerak secara berdikari bagi menghadapi cabaran Liga Super musim 2017/18.

“Sebagai presiden FAS, Datuk Azmin Ali dan ahli-ahli FAS harus cuba untuk mencari jalan penyelesaian isu dalaman persatuan serta dana pasukan bagi menghadapi Liga Super musim hadapan.”

About Author

Ammar Hakim

Comment