Sathianathan: FMLLP perlu kembalikan kuasa tadbir Liga M semula kepada FAM

By Ammar Hakim 22 November 2016
Sathianathan: FMLLP perlu kembalikan kuasa tadbir Liga M semula kepada FAM

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan, menegaskan kuasa mentadbir Liga M perlu dikembalikan semula kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) gagal memberikan pulangan kewangan sepatutnya kepada setiap pasukan.

Bekas pengendali kebangsaan ini bersependapat dengan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang mahu setiap pasukan mendapat pulangan kewangan sewajarnya menerusi hak penyiaran.

Bagi Sathianathan, selaku pentadbir Liga M, FMLLP perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan dan setiap pasukan merupakan pemegang taruh utama liga yang berhak mendapatkan hak mereka.

“Pasukan-pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia merupakan pihak utama yang membawa masuk dana daripada penajaan dan sebagainya, mereka merupakan pemegang taruh utama yang perlu mendapatkan hak penyiaran,” jelas Sathianathan.

Tunku Ismail sebelum ini mengeluarkan kenyataan di laman web Johor Southern Tigers bahawa FAM bakal bertindak sebagai penjaga liga dan tiada lagi FMLLP.

Dalam pada itu, Sathianathan berpandangan kajian lebih mendalam perlu dibuat sebelum mewujudkan satu badan pengadil yang bebas. 

“Kami perlu melihat daripada aspek pelaksanaan badan pengadilan ini, adakah kita akan melanggar undang-undang FIFA?, adakah sistem yang sedia ada sudah bertaraf profesional dan kita harus mendapatkan seorang individu yang mempunyai pengetahuan yang meluas dalam perkara ini.”

 

About Author

Ammar Hakim

Comment